- HOME - IKUTI BLOG INI - FACEBOOK

Assalamualaikum...

Kehidupan ini bagaikan satu putaran yang sentiasa bergerak, umpama matahari dan bulan. adakalahnya kita merasakan panas dan adakalanya kita merasakan dinginnya malam. Bahangan mentari itu mampu membuatkan kita teguh berdiri dengan kaki yang kian lenguh. Dingin malam pula akan memberikan kita kesegaran malam dalam menghadapi dugaan disiang hari. Banyak dugaan dalam kehidupan, oleh itu setiap dugaan yang kita lalui memerlukan setiap ketelitian dan langkahan yang berhati-hati. Biar kita melangkah meninggalkan keseronokan dunia demi untuk kebaikan alam abadi.Insya-Allah.
Md Asrul

Create your badge

Selasa, 6 Mei 2008

JANJI YB

JANJI YB


"Betulkah ini rumah YB? Atau aku yang tersalah alamat?'' tanya Pak Abu kepada dirinya sendiri. Apa yang dilihatnya bukan sekadar rumah tapi layak dipanggil istana.

Pak Abu masih berdiri di luar kawasan rumah tersebut. Dia berasa amat takjub kerana baginya rumah itu terlalu besar dan cantik. Dia tidak pasti rumah itu berapa tingkat, namun bentuknya memang tersergam indah dan megah bagai sebuah istana. Atapnya berwarna biru laut dan bahagian dinding rumah itu dicat dengan warna putih. Di halaman rumah itu ada berbagai-bagai jenis bunga dan kawasan kelilingnya berpagar besi setinggi berdiri.

Pak Abu meneropong rumah itu dengan mata tuanya yang mula rabun. Kenapa rumah yang begini besar nampak sepi? Mana penghuninya? Dia menapak mendekati pintu pagar yang kelihatan sentiasa tertutup rapat. Malah kesemua rumah di kawasan perumahan mewah itu pintunya berkunci. Berbeza dengan rumah-rumah di kampung, pintu pagar sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan tetamu.

``YB baru lima tahun jadi wakil rakyat. Mustahil dia mampu memiliki rumah sebesar ini,'' getus hati Pak Abu sendirian.

Pak Abu tahu benar YB bukan dari keluarga yang kaya. Ayahnya cuma seorang penoreh getah yang hidup serba sederhana dan tidak pernah mengecap nikmat kekayaan dalam erti kata yang sebenar. Kerana itu semasa YB sedang belajar di universiti, ayahnya terpaksa mengekang perut makan ala kadar sahaja. Tambahan pula YB punya adik-beradik yang ramai.

Kerana itu tidak hairanlah kenapa ayahnya berang apabila YB letak jawatan sebagai pegawai kerajaan semata-mata hendak bertanding dalam pilihan raya.

``Apa lagi yang kau nak kejar dalam hidup ini? Bukankah kau dah ada kerja yang boleh menjamin masa depan keluarga?'' pernah pertanyaan itu Pak Abu tujukan kepada Syafiq sebelum dia jadi YB.

``Saya ingin perjuangkan nasib rakyat. Kalau saya terus kerja makan gaji sampai mati pun nasib saya tak akan berubah,'' begitu yakin anak muda itu menuturkan kata-katanya.

Pak Abu tahu dia memang bercita-cita tinggi. Untuk mencapai impiannya, dia aktif dalam politik. Mula-mula dia bergiat cergas di peringkat cawangan kemudian naik ke bahagian. Dan tidak siapa yang menyangka namanya tiba-tiba dipilih menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Dan tuah tetap menyebelahinya kerana dia berjaya.

Waktu berjalan dengan amat pantas. Seingat Pak Abu setelah menang pilihan raya, YB mula sibuk siang dan malam. Dia sudah jarang berada di rumah. Sebelum matahari terbit dia sudah keluar dan balik jauh malam. Kalau sebelum jadi YB, dia selalu ke masjid untuk solat maghrib dan isyak. Tetapi bila sudah jadi YB, dia sudah tidak kelihatan lagi. Barangkali sibuk menguruskan hal rakyat.

Tiba-tiba tersebar berita YB sudah beli rumah di Kuala Lumpur. Isteri dan anak-anaknya dibawa ke sana. YB cuma pulang ke kampung sekali-sekala sahaja apabila ada lawatan oleh Pak Menteri atau ada mesyuarat penting parti.

Apa yang lebih membanggakan, wajah YB pernah muncul di kaca tv. Berita serta gambarnya juga pernah tersiar dalam surat khabar. Pak Abu masih ingat, pertama kali gambar YB tersiar dalam surat khabar, penduduk Kampung Nyior Gading bersorak riang kerana gambar wakil rakyat mereka tersiar.

Namun bagi Pak Abu, itu semua kini sudah tidak penting lagi. Apa yang penting ialah dia mesti bertemu YB kerana itulah mandat yang diberikan oleh penduduk Kampung Nyior Gading.

Mereka berhak menemui YB untuk mengadu hal kerana dia dipilih oleh rakyat. Dan penduduk kampung memilih Pak Abu sebagai wakil untuk menyampaikan hasrat mereka kepada YB.

``Tanah hutan berhampiran kampung kita masih belum diteroka. Kerana itu elok kita memohon jasa baik YB untuk memajukannya,'' demikian keputusan mesyuarat JKKK petang itu. Kerana Pak Abu kenal rapat dengan YB maka dia dilantik sebagai wakil untuk menyampaikan permohonan itu kepada YB.

Pak Abu memang kenal rapat dengan YB sejak dia masih kecil. Pak Abu juga masih ingat, semasa kempen pilihan raya dulu, dia bekerja keras siang dan malam untuk memastikan kemenangan YB. Dialah yang ke hulu dan ke hilir berkempen untuk mempengaruhi pengundi supaya memilih YB. Dia juga yang mengetuai kempen dari rumah ke rumah untuk memujuk pengundi memilih YB. Siang dan malam dia bekerja keras untuk memastikan kemenangannya.

Namun setelah YB berjaya menjadi wakil rakyat, dia mula sibuk. Penduduk kampung sukar hendak bertemu dengan YB. Kalau dulu bila ada majlis keramaian atau kenduri-kendara YB turut hadir tapi selepas jadi wakil rakyat YB tak nampak lagi.

Pak Abu juga masih ingat pernah sekali dia berselisih jalan dengan YB. Ketika itu dia sedang membonceng motosikal buruknya. Kerana jalan masuk ke kampung itu sempit dia terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memberi laluan kepada sebuah kereta besar dan cantik. Dan ketika mereka berselisih jalan, Pak Abu sampat menjenguk melalui cermin tingkap kereta tersebut. Dia nampak YB sedang duduk bersandar di tempat duduk belakang sambil membaca surat khabar. Walaupun Pak Abu cuba menegurnya sambil mengangkat tangan namun YB tidak perasan kerana ketika itu YB sedang asyik membaca. Namun Pak Abu tidak kecil hati malah dia berasa bangga kerana YB sudah mampu beli kereta besar siap dengan pemandu.

``Saya berjanji kalau dipilih jadi wakil rakyat saya akan membela nasib saudara-saudara semua. Jalan masuk ke kampung ini akan dinaik taraf. Masjid yang uzur akan diganti baru. Dan sesiapa yang ada masalah boleh mengadu kepada saya bila-bila masa dan saya sedia membantu mereka yang dalam kesulitan.'' Pak Abu masih ingat itulah janji yang selalu diucapkan oleh YB semasa berkempen dalam pilihan raya dulu.

Orang-orang kampung termasuk Pak Abu terpesona dengan ucapan YB. Tambahan pula mereka memang perlukan seorang pemimpin yang sanggup memperjuangkan nasib rakyat. Masing-masing percaya YB dapat menunaikan tanggungjawab itu dengan baik. Tambahan pula dia seorang yang baik, bersopan santun dan terdidik dengan ajaran agama. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang dihafalnya. Dalam sekelip mata dia menjelma sebagai seorang pahlawan yang bersedia untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Kerana itu, sebaik sahaja YB diisytiharkan menang dalam pilihan raya dulu maka ramai penduduk kampung yang melahirkan rasa kesyukuran. Beberapa orang anak muda pula sanggup mencukur rambut kerana membayar nazar. Di masjid dan di surau diadakan doa kesyukuran di atas kemenangan YB.

Hanya tinggal janji
Namun harapan cuma tinggal harapan kerana walau sudah lima tahun berlalu namun jalan masuk ke Kampung Nyior Gading masih belum dinaikkan tarafnya. Masjid yang uzur masih belum dibaik pulih apatah lagi diganti baru. Malah ada yang merungut kerana hendak meminta tandatangan wakil rakyat pun amat susah kerana YB entah ke mana. Janji hanya tinggal janji.

Tanpa disedari oleh Pak Abu, dua orang pengawal keselamatan sedang mengawasi gerak-gerinya sejak dari tadi. Kedua-dua pengawal itu mendekati Pak Abu lalu menepuk bahunya dari belakang. Pak Abu terperanjat lalu membuka pencak silat.

``Pak cik nak cari siapa?'' tanya seorang pengawal sambil tersenyum.

``Betulkah ini rumah YB?'' soal Pak Abu pula.

``Ya betul,'' jawab pengawal itu. Lalu Pak Abu menyatakan hasratnya hendak bertemu dengan YB.

``Ada buat temu janji?'' Soalan pengawal itu agak menyinggung perasaan Pak Abu. Dia datang dari jauh terpaksa naik bas dan teksi. Berdasarkan alamat yang diberikan oleh Pak Muslim ayah YB, dia sampai ke situ.

``Dia wakil rakyat kami. Perlukah temu janji untuk bertemu dengan YB kami?'' Soal Pak Abu sambil merenung muka pengawal itu.

``Minta maaf pak cik sebab YB berpesan jangan benarkan sesiapa masuk tanpa sebarang urusan.''

``Pak cik ada urusan penting nak jumpa YB.''

``Mesti buat temu janji dulu.''

``Kami kenal baik. Pak cik yang naikkan YB. Pak cik bekerja keras siang dan malam untuk pastikan dia menang dalam pilihan raya.''

``Kami cuma ikut peraturan pak cik!''

``Siapa yang buat peraturan itu?''

``Yang Berhormat.''

``Pak cik tak percaya kerana pak cik kenal YB sejak dari kecil. Dia bukan sombong macam kamu!''

Kedua-dua pengawal nampak terkejut. Mereka saling pandang sambil mengenyitkan sebelah mata.

``Kami minta maaf, pak cik. Kami cuma menjalankan tugas.''
Pak Abu menarik nafas. Kemarahannya mula turun. ``Pak cik juga minta maaf. Pak cik sebenarnya letih tambahan pula belum makan dan minum sejak pagi tadi.''

Pengawal itu menunjuk rasa simpati. Seorang menghulurkan sebotol air mineral lalu diteguk oleh Pak Abu. Seorang lagi memberikan sebuku roti krim lalu dimakan oleh Pak Abu.

``Kamu memang baik hati. Maaflah tadi pak cik salah sangka,'' kata Pak Abu tersenyum.

Kedua-dua pengawal itu nampak senang hati mendengar kata-kata pujian daripada Pak Abu.

Tiba-tiba dari pekarangan rumah itu muncul sebuah kereta besar dan cantik. Pak Abu tidak tahu apakah jenis kereta itu tapi cukup mewah melambangkan kekayaan pemiliknya.

``Yang Berhormat nak keluar. Buka pintu pagar cepat!'' teriak seorang pengawal kepada rakannya.

Pengawal yang seorang lagi bergegas membuka pintu pagar. Pak Abu terpegun melihat kereta hitam besar dan cantik itu.
Dan ketika kereta itu melepasi pintu pagar, kedua-dua pengawal mengangkat tabik hormat. Pak Abu meninjau siapa yang berada dalam kereta itu.

Pemandu kereta itu tersenyum sambil melambai tangan ke arah Pak Abu. Tetapi penumpang di belakang buat selamba sahaja.

``YB!'' jerit Pak Abu.

Dia yakin sungguh orang yang duduk bersandar di tempat duduk belakang kereta itu ialah YB.

``YB tunggu dulu!'' Namun jeritan Pak Abu tenggelam dalam deruman enjin kereta yang besar itu.
Kereta terus meluncur ke jalan besar. Pak Abu masih terpinga-pinga. Dia seperti tidak percaya orang yang dilihatnya sebentar tadi ialah YB yang selama ini amat disanjungnya.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home


Assalamualaikum

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Translate this page from Malaysian to the following language!

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Widget edited by Anang

AsRuL @ YaGaMi LaiTo Search

Blog-blog aku :

AsRuL & YaGaMi LaiTo

Indah Islam Kerana Iman

Muzik Itu Duniaku


Blogger Help Templates Widgets SEO Tips
Blogger Help Templates Widgets SEO Tips


Blogger Trick
Blogger Trick


Blog Catalog
Mens Blogs - BlogCatalog Blog Directory

Doa Penerang Hati Memulakan Bacaan

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Clicky Web Analytics Clicky