- HOME - IKUTI BLOG INI - FACEBOOK

Assalamualaikum...

Kehidupan ini bagaikan satu putaran yang sentiasa bergerak, umpama matahari dan bulan. adakalahnya kita merasakan panas dan adakalanya kita merasakan dinginnya malam. Bahangan mentari itu mampu membuatkan kita teguh berdiri dengan kaki yang kian lenguh. Dingin malam pula akan memberikan kita kesegaran malam dalam menghadapi dugaan disiang hari. Banyak dugaan dalam kehidupan, oleh itu setiap dugaan yang kita lalui memerlukan setiap ketelitian dan langkahan yang berhati-hati. Biar kita melangkah meninggalkan keseronokan dunia demi untuk kebaikan alam abadi.Insya-Allah.
Md Asrul

Create your badge

Jumaat, 29 Ogos 2008

CERITA RAKYAT 3: Sang Kacil dengan Buaya

Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.

Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.

Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.

Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".

Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".

Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".

Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

Cerita Rakyat 2 - Nenek Apoi (sabah)

Cerita Rakyat - Nenek Apoi


Pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang Ketua Kaum Idahan yang mempunyai kekuasaan yang sangat besar bermula dari Sungai Kinabatangan sehinggalah ke perairan Pulau Temburung di Daerah Semporna. Beliau bernama " Nenek Apoi" yang bermaksud " Api " dalam Bahasa Idahan. Nenek Apoi juga merupakan seorang Wira ataupun Pahlawan dikalangan Suku Kaum Idahan ketika itu.

Nenek Apoi mempunyai seorang isteri yang Bernama Liungayoh yang bermaksud 'Perempuan Besar" dalam Bahasa Suku Kaum Idahan dan menurut cerita ia mempunyai Tiga Orang Anak yang tinggal di Sungai Segama, Sungai Tungku dan juga Sapagaya. Ini bererti Nenek Apoi tidak menetap di suatu kawasan, ia sering pergi ke tempat tinggal anak-anaknya.

Pada suatu hari isteri Nenek Apoi yang tengah sarat mengandung telah mengidam ingin memakan Hati Payau. "Apoi, aku mahulah makan Hati Payau, kata isterinya Liungayoh". Nenek Apoi pun bersetuju. " Kalau begitu kenalah aku pergi memburu Payau tu Liun" kata Nenek Apoi. Pada keesokan harinya Nenek Apoi bersama anjing kesayangannya yang bernama Siyud Rapot bertolak dengan berbekal sebilah Tombak dan makanan serta minuman yang dibekalkan oleh isterinya Liungayoh.

Nenek Apoi pun pergilah berburu, sehari suntuk Nenek Apoi berjalan namun tidak terlihat olehnya kalibat seekor pun Payau padahal dia tahu binatang ini muda dicari. Siang bertukar malam, malam bertukar siang, Nenek Apoi mengira hari. " Aduh, sudah lima hari aku berburu, mana payau ni, hairan juga tidak nampak seekor pun. Bisik Nenek Apoi, anjing kesayanag Siyud Rapot pun keletihan.

Pada hari yang ketujuh, Nenek Apoi begitu letih. Nenek Apoi sungguh hairan kenapa tidak ada seekor pun Payau yang dia temui. Ketika asyik berfikir, Nenek Apoi tertidur. Tiba-tiba anjing Nenek Apoi, Siyud Rapot menyalak tidak berhenti-henti. Nenek Apoi terkejut, lalu melihat apa yang disalak oleh Siyud Rapot. Percaya dengan tidak, Nenek Apoi tergamam seketika kerana bersama dengan Siyud Rapot adalah seekor Payau tetapi yang menghairankan Nenek Apoi kenapa warna kulit Payau tersebut berwarna Emas. Dengan segera Nenek Apoi pun berlari ke arah Payau Emas tersebut. Kejar mengejar pun berlaku. Payau Emas tersebut sungguh pantas, namun Nenek Apoi lebih pantas bersama anjingnya Siyud Rapot.

Tiba-tiba, Payau Emas tersebut berhenti tiba-tiba, apa lagi Nenek Apoi pun membaling Tombaknya ke arah payau Emas tersebut dengan kepakaran dan ketangkasan Nenek Apoi, lembing tepat terkena payau Emas tersebut. Nenek Apoi pun mencabut parangnya lalu ingin memotong Payau Emas tersebut.

Belum sempat Nenek Apoi mahu menyembelih leher Payau Emas tersbut tiba-tiba Payau Emas itu berkata " Tolong, jangan bunuh aku, tolonglah aku", Payau Emas itu merayu. Apa lagi, Nenek Apoi pun melompat, "kau kah yang bercakap?, tanya Nenek Apoi. "Ya, aku" tolong lepaskan aku, jawap Payau Emas itu. Nenek Apoi berfikir sejenak. " Tapi, kalau aku tak bunuh kau, macam mana aku hendak membawa pulang hati kau, kerana isteri aku ingin memakan hati Payau, sudah tujuh hari tujuh malam aku berburu, sudah dapat, mana boleh aku lepaskan", kata Nenek Apoi.

Payau Emas merayu lagi, " baiklah, kalau kau lepaskan aku, aku akan berikan kau harta yang amat berharga untuk selama-lamanya sehingga anak cucu kau, ia tidak akan habis", jawab Payau Emas tersebut. "Harta!, aku tidak mahu harta, aku mahu hati kau untuk isteri aku yang mengidam" kata Nenek Apoi. "Harta itu ada didalam Gua ini, kau masuklah lihat sendiri" balas Payau Emas itu.

Nenek Apoi pun melangkah masuk, belum sempat Nenek Apoi melangkah seterusnya, bila Nenek Apoi mahu bertanya kepada Payau Emas, Payau Emas itu telah lenyap, tiada kesan darah kalaupun Payau Emas itu melarikan dirinya. Nenek Apoi pun masuk ke dalam Gua tersebut.

Sejak hari itu, harta yang dimaksudkan oleh Payau Emas itu adalah Sarang Burung Layang-Layang yang mendiami Gua tersebut, nama Gua itu ialah Gua Madai terletak di daerah Lahad Datu yang terkenal dengan panghasilan Sarang Burung sehingga keperingkat antarabangsa sehinggalah hari ini kesan darah daripada percikan darah Payau Emas terkena tombak Nenek Apoi masih kelihatan dan kesan tapak kaki serta tangan Nenek Apoi masih lagi dapat dilihat.

Begitulah cerita rakyat Daerah Lahad Datu bagaimana Nenek Apoi berjumpa dengan Payau Emas dan bertemu dengan Gua yang bernama Gua Madai.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

CERITA RAKYAT 1: Batu Belah Batu Bertangkup

Sepasang suami isteri miskin, Si Kantan dan Si Tanjung tinggal dekat Bukit Berapit Sebatu dari Pangkalan Kampar. Mereka menyara hidup dengan mengambil upah menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan sebagainya sehingga berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.

Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. Tatkala sedang memetik daun cemperai, mereka terdengar suara kuat yang amat menyeramkan. Si Kantan memeritahu isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya. Beberapa tahun kemudian mereka memperolehi dua orang anak, seorang Si Bunga Melur dan seorang lagi Si Pekan. Malang menimpa, Si Kantan mati sewaktu anak-anaknya masih kecil menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.


Pada suatu hari, Si Tanjung dapat mengail seekor ikan tembakul. Disuruhnya Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Melur mendapat sebiji telur ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Perbuatan Si Pekan membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan marah.

Akhirnya ia mengambil keputusan menyerahkan diri kepada Batu Belah Batu Bertangkup walaupun dirayu belas kasihan oleh Si Bunga Melur yang terus mengekorinya sambil mendukung Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Melur pun jatuh pengsan.

Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur bermimpi didatangi seorang tua menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya. Sebaliknya disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta membawa telur ayam yang mahu dibuat lauk ibunya itu. Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya dan membakar sehelai daripada rambut ibunya setiap kali hendak tidur. Melur mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga sampai ke rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara mereka. Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama menyuruh dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

Khamis, 28 Ogos 2008

kehidupan

Kehidupan ini begitu pantas berlalu,
Baru semalam aku rasakan kehangatan
berada didalam rahim ibu,
tidak mengenal erti semuanya.

Masa bukan berlari,
Bukan boleh diundur
Dan bukan boleh ditetapkan,

Kehidupan hanya sekali,
Tiada berulang tiada berganda
Memori semalam akan dihargai
Namun yang akan datang sedang dinanti

Perancangan belum tentu menjadi,
Jika hari ini aku katakan aku cinta
Tidak mustahil esok kita berpisah,
Kuasa hanya ditangan yang satu.

Jika saat ini aku berada tepat dihadapan matamu
Tidak mustahil saat ke dua aku akan hilang,
Jika kita berjanji untuk ketemu,
Jangan salahkan aku, jika aku tidak kotakannya.

Kehidupan sungguh aneh,
Manusia yang bijak akan menganggap kehidupan
Satu anugerah dan menghargainya.

Hidup manusia bukanlah apa-apa
Hidup manusia cuma satu persingahan
Persingahan yang belum pasti destinasinya
Sedar tidak sedar semuanya telah berakhir.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

IBU DENGARLAH RINTIH HATIKU UNTUKMU IBU...


IBU

Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun sepahit dan kelat engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu rela terkorbakan
Tak dapat kubalasi akan semua ini
Semoga Tuhan, memberkati kehidupanmu ibu

Ibu
Kau ampuni dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restu mu yang amat aku harapkan
Kerana disitu terletak syurga ku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajar ku erti kesabaran
Kau bagai pelita dikala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayang mu
Sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Kasihani Tuhan
Ibu yg telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu didunia dan diakhirat sana

IBU DENGARLAH RINTIH HATIKU UNTUKMU IBU...
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

Sabtu, 23 Ogos 2008

SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Sejarah Pembentukan Malaysia

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.


http://www.kkr.gov.my/kemerdekaan/index.htm
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

Definisi Merdeka Erti Kemerdekaan Berubahkah Maksudnya?



Definisi Merdeka Erti Kemerdekaan Berubahkah Maksudnya?

Tahun ini sudah 51 tahun negara kita Malaysia merdeka. Bagaimana pula dengan Sabah dan Sarawak? Adakah 51 tahun merdeka atau 45 tahun? Bukankah Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di bawah Malaysia? Malaysia sudah merdeka selama 51 tahun. Apakah maksud kemerdekaan itu telah tercapai? Untuk tujuan itu saya telah membuat penilaian seperti ini. Ini adalah penilaian kemerdekaan berdasar Skala Kemerdekaan.

Untuk setiap kenyataan di bawa, cuba anda buat pemarkahan mengikut skor berikut:

4: Sangat Setuju (Semua Orang Begitu)
3: Setuju (Ramai Orang Begitu)
2: Tidak pasti (Ada Yang Begitu, Ada Yang Tidak Begitu)
1: Tidak Setuju (Sedikit/Tak Ramai Yang Begitu)
0: Sangat Tidak Setuju (Tidak Ada Orang Begitu)

Kenyataan-kenyataan adalah seperti berikut. Orang dalam nilai skor di atas merujuk kepada masyarakat di Malaysia.

Malaysia adalah merdeka apabila:

1. Malaysia tidak dijajah oleh bangsa asing.
2. Malaysia tidak berada di bawah naungan negara atau kuasa lain.
3. Malaysia masih mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
4. Budaya bangsa kita masih kekal dan diamalkan.
5. Bahasa Melayu masih menjadi bahasa rasmi.
6. Rakyat Malaysia masih kelihatan seperti orang tempatan.
7. Rakyat Malaysia ramai yang tahu berbahasa Melayu.
8. Lauk pauk tradisional bangsa kita masih menjadi makanan pilihan utama.
9. Rakyat Malaysia sensitif terhadap kesalahan dalam ejaan dan penggunaan bahasa kebangsaan di papan tanda dan papan kenyataan.
10. Rakyat Malaysia masih menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan.
11. Rakyat Malaysia masih berpakaian serba sopan dan beradab.
12. Rakyat Malaysia berbudi bahasa apabila bercakap dengan orang lain.
13. Rakyat Malaysia tahu menghormati orang yang lebih tua.
14. Rakyat Malaysia masih mengagung-agungkan Bahasa Melayu.
15. Rakyat Malaysia sering menulis dengan Bahasa Melayu yang betul biarpun secara tak rasmi.
16. Rakyat Malaysia yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk menghadapi sesuatu cabaran.
17. Rakyat Malaysia sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan.
18. Rakyat Malaysia tidak suka berhibur malah lebih mementingkan akademik untuk masa depan yang cemerlang dan gemilang.
19. Rakyat Malaysia tahu berdikari, tidak suka bergantung kepada sumber atau orang luar.
20. Rakyat Malaysia akan sentiasa bersatu padu apabila menghadapi masalah besar.
21. Rakyat Malaysia mampu membantu dan menanggung negara lain apabila berlaku masalah di negara lain seperti bencana alam, kegawatan ekonomi dan peperangan.
22. Malaysia mempunyai sistem pertahanan yang kuat.
23. Malaysia dihormati oleh negara-negara asing.
24. Malaysia mempunyai status ekonomi yang kukuh.
25. Malaysia mampu mengatasi masalah dalaman negara tanpa campur tangan negara lain.
26. Malaysia pandai berunding dalam segala hal seperti ekonomi, pembangunan dan politik.
27. Semua kaum di Malaysia saling tolong menolong dan prihatin terhadap persekitaran.
28. Semua kaum di Malaysia sedia menyumbang tenaga untuk kedamaian negara.
29. Semua kaum di Malaysia mengamalkan budaya Malaysia yang asli.
30. Semua kaum di Malaysia saling hormat menghormati dan sayang menyayangi.
31. Agama Islam kekal sebagai agama utama di Malaysia.
32. Pemimpin Malaysia adil dan saksama.
33. Rakyat sedar dan faham betapa pentingnya mematuhi undang-undang negara.
34. Rakyat Malaysia akan berasa sangat marah apabila imej dan budaya Malaysia dicemar.
35. Rakyat Malaysia tahu menyanyikan lagu Negaraku.
36. Rakyat Malaysia lebih suka budaya tempatan berbanding budaya asing.
37. Rakyat Malaysia lebih suka berbahasa Melayu berbanding bahasa asing.
38. Rakyat Malaysia lebih suka makanan tempatan berbanding makanan asing.
39. Rakyat Malaysia lebih suka penampilannya kelihatan tempatan berbanding kelihatan rupa rakyat di negara asing.
40. Rakyat Malaysia tidak rasa menulis blog dalam Bahasa Melayu yang betul itu sebagai satu tekanan atau bebanan.
41. Rakyat Malaysia seronok menulis blog dalam Bahasa Melayu yang rasmi.
42. Rakyat Malaysia rasa bersalah apabila mencemar Bahasa Melayu ketika menulis.
43. Rakyat Malaysia tidak senang hati melihat Bahasa Melayu tercemar.
44. Rakyat Malaysia sentiasa memperbaiki penulisan Bahasa Melayunya.
45. Rakyat Malaysia lebih mahir berbahasa Melayu berbanding berbahasa asing.
46. Rakyat Malaysia mahu orang Malaysia sentiasa maju.
47. Rakyat Malaysia suka memberi sumbangan terhadap negara dalam apa cara bidang dengan identiti orang Malaysia.
48. Rakyat Malaysia sentiasa menghayati sejarah kemerdekaan sehingga berasa terharu mengenangkan perjuangan orang-orang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan.
49. Rakyat Malaysia sentiasa berdoa kesyukuran setiap kali jam menunjukkan 12.00 tengah malam pada setiap 31 Ogos.
50. Rakyat Malaysia sentiasa berani mempertahankan kedaulatan sehingga ke titisan darah terakhir apabila negara diancam oleh kuasa luar atau negara asing.

Buat masa ini saya paparkan 50 kenyataan untuk dinilai. Terlalu banyak dan luas erti kemerdekaan untuk dihayati. Namun apa yang saya lihat, definisi kemerdekaan itu makin lama makin sempit. Sudah berubah dari menjadi kemerdekaan negara kepada kemerdekaan individu.

Skor Kemerdekaan:

150 ke atas = Malaysia Sememangnya Merdeka
100 ke 149 = Malaysia masih Merdeka
50 ke 99 = Kemerdekaan Malaysia terancam
Bawah 50 = Malaysia tidak merdeka.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman

Rabu, 13 Ogos 2008

PERTEMUAN

PETEMUAN

SAMBIL menjinjit beg yang sendat berisi pakaian, Syafiq melangkah dengan tenang melewati pintu pesawat MAS yang akan berlepas dari lapangan terbang KLIA ke Sibu. Seorang pramugari jelita menyambut kedatangan penumpang dengan wajah ceria dan senyuman manis terukir di bibirnya. Apabila Syafiq mempamerkan tiket penerbangannya, Pramugari itu dengan sopan menudingkan jarinya ke arah tempat duduk sambil berkata;
"Semoga saudara selesa dengan penerbangan kami."
Syafiq bersama kira-kira seratus penumpang mengambil tempat duduk masing-masing dalam pesawat yang menjadi kebanggaan negara Malaysia. Sengaja dipilihnya posisi di tepi jendela bagi membolehkan dia menikmati keindahan alam semasa pesawat itu meluncur ke angkasa. Ingin dirakamnya detik-detik yang bersejarah itu dalam mindanya kerana sebentar lagi pesawat itu akan berlepas ke destinasi yang belum pernah dijejakinya. Bumi Kenyalang seolah-olah sedang melambai kedatangannya. Di sanalah dia akan mencari rezeki serta menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

"Hai!" Dia terkasima seketika apabila ditegur oleh seorang gadis berkulit putih mulus, berwajah ceria, bermata jeli dengan bulu matanya yang melentik. Menatap wajah gadis anggun itu mengingatkannya kepada Siti Nurhaliza, penyanyi popular yang diminatinya.
"Hai!" Dia membalas teguran gadis itu dengan sedikit rasa gemuruh.
"Saya kira saudara tersalah mengambil tempat duduk!" gadis itu bersuara lembut tapi mengesankan.
"Oh maafkan saya," balas Syafiq lalu berdiri memberi laluan kepada gadis itu untuk mengambil tempat duduk di tepi tingkap.
Dia tahu tempat duduk itu bukan miliknya berdasarkan nombor yang tertera pada tiket penerbangan. Cuma sebentar tadi dia nampak tempat duduk itu masih kosong lalu menyangka tiada penghuninya. Kerana itu apabila ditegur oleh gadis itu maka dengan cepat dia mengalah.

"Silalah duduk," pelawa Syafiq sambil memberi laluan.
"Saya nak letakkan beg ini dalam rak," balas gadis itu sambil cuba menjulang begnya. Dia nampak terkial-kial kerana beg itu agak berat. Syafiq segera membantu memasukkan beg itu ke dalam rak pesawat.

"Terima kasih kerana sudi membantu," kata gadis itu sambil tersenyum.
"Sama-sama," jawab Syafiq. Terselit juga rasa bangga di hatinya.
"Sila duduk kerana pesawat akan berlepas sebentar lagi."
"Saudara duduklah semula di tempat itu," kata gadis itu sambil menunjuk ke arah tempat duduk di tepi tingkap pesawat.

"Itu bukan tempat duduk saya."
"Saya benarkan saudara duduk di situ." Syafiq berasa serba salah. Timbul pertanyaan di hatinya kenapa gadis itu boleh berubah pendiriannya dalam masa yang singkat. Baru sebentar tadi dia menuntut tempat duduk itu tetapi kini dia merayu supaya duduk semula di tempat yang sama.

"Sila duduk, Encik. Sebentar lagi pesawat akan berlepas." Kata Pramugari yang datang seolah hendak menyelesaikan masalah antara Syafiq dengan gadis itu.
"Kami ada sedikit masalah tempat duduk," kata Syafiq sambil menghulurkan tiket penerbangan miliknya kepada Pramugari itu.
"Encik duduk di sini dan dia di tepi tingkap," kata Pramugari dan gadis itu terpaksa akur dengan arahan tersebut.
Ketika Syafiq mengambil tempat duduk bersebelahan gadis itu dia terhidu aroma minyak wangi yang harum semerbak. Bau minyak wangi itu mengingatkannya kepada seorang gadis bernama Azura. Wajah gadis itu tidak luput dari ingatannya.
"Saya Aghata," gadis itu memperkenalkan dirinya.
"Saya Syafiq," balas Syafiq sambil mengenakan tali pinggang keselamatan.

Ketika itu dua orang Pramugari sedang memberi penerangan mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh para penumpang sekiranya berlaku kemecasan. Selesai penerangan tersebut maka pesawat pun mula bergerak meninggalkan landasan, semakin lama bertambah laju dan akhirnya meluncur ke angkasa. Pesawat itu mengalami sedikit gegaran ketika menembusi awan gemawan yang menabiri jagat raya.
Syafiq cuba menyusun kata-kata untuk mengajak gadis itu berbual bagi mengatasi rasa bosan sepanjang penerbangan. Namun sebelum dia bersuara, gadis itu mendahuluinya.
"Barangkali saudara bukan orang Serawak?"
"Saya dari Negeri Sembilan."
" Daerah mana?"
"Jelebu, mungkin saudari tak pernah dengar nama itu."
Aghata sedikit terkejut mendengarnya. Dia tidak menyangka ada orang Jelebu dalam penerbangan itu. Hatinya semakin tertarik untuk terus berbicara dengan pemuda di sebelahnya.
Saya punya keluarga angkat di Jelebu. Kerap kali saya ke sana bila bercuti. Mereka baik dan saya anggap seperti keluarga sendiri."
Giliran Syafiq pula sedikit terkejut mendengarnya. Dia tidak menyangka gadis secantik itu selalu ke Jelebu dan mempunyai keluarga angkat di sana. Mungkin pertemuan ini ada rahmatnya. Bisik hati Syafiq.
Bagaimana saudari boleh mendapat keluarga angkat di tempat saya?" Tanya Syafiq inginkan kepastian. Menurut Aghata, dia pernah mengikuti program masuk ke desa yang dianjurkan oleh pihak Universiti. Untuk menjayakan program yang bertujuan untuk mendekatkan mahasiswa dengan penduduk luar bandar itu, diadakan sesi penyerahan keluarga angkat.
Ayah angkat saya seorang Pak Haji. Dia imam masjid," kata Aghata sambil ketawa. "Saya sayang pada keluarga angkat saya kerana mereka melayan dengan baik setiap kali berkunjung ke rumah mereka."
Menurut Aghata, setiap kali dia berkunjung ke rumah keluarga angkatnya, dia berpakaian baju kurung dan bertudung. Kalau di bulan Ramadan dia sama-sama berpuasa. Cuma dia tidak dibenarkan bersama untuk sembahyang berjemaah. " Mereka tidak pernah menghasut saya memeluk agama Islam," katanya.

Siapa nama ayah angkat saudari dan apakah nama kampungnya. Mungkin saya kenal," tanya Syafiq pula.
Haji Talib, rumahnya di Simpang Pertang," jawab Aghata.
"Saya tak mengenalinya kerana rumah saya di Kuala Klawang jaraknya kira-kira 25 kilometer."
"Saya pernah ke pekan Kuala Klawaang bersama keluarga angkat. Ia sebuah pekan kecil yang kelihatan sunyi apabila waktu malam. Terus terang saya katakan, saya suka tinggal di Jelebu kerana ia mengingatkan saya kepada negeri saya."
"Saudari memang berasal dari Sarawak?" tanya Syafiq inginkan kepastian.
Menurut Aghata, dia berketurunan Iban. Katanya, dia baru selesai menghabiskan pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kepulangannya kini membawa kejayaan yang pastinya akan membanggakan keluarganya.
"Ayah dan ibu saudari tak datang pada hari konvokesyen?" tanya Syafiq lagi.
"Saya pasti menangis kalau mereka tak hadir. Cuma mereka tidak dapat tinggal lebih lama di Kuala Lumpur kerana perbelanjaannya mahal. Tambahan pula ayah saya tidak selesa tinggal di bandar. Sebab itu mereka balik lebih dulu dari saya."
Perbualan mereka terganggu apabila Pramugari jelita yang tadinya menyambut kedatangan penumpang di muka pintu pesawat kini datang sambil menolak troli yang membawa pelbagai jenis minuman. Walaupun tekak masih belum berasa haus tambahan pula pendingin udara yang sejuk dalam pesawat, namun Syafiq tidak akan menolak bila dihidangkan minuman.

"Minuman panas atau sejuk?" tanya Pramugari masih dengan sikap ramahnya. Mungkin itulah disiplin yang telah diterapkan kepada setiap Pramugari agar bersikap ramah dan bermurah dengan senyuman.

"Beri saya oren jus," jawab Aghata sambil membuka tali pinggang keselamatan kerana pesawat telah stabil apabila berada di ketinggian 10,000 meter dari paras laut.
"Beri saya air kosong sahaja," kata Syafiq sebelum sempat Pramugari bertanya. Mereka menikmati minuman pilihan masing-masing. Sambil meneguk air yang jernih itu, Syafiq sempat memerhati ke arah para penumpang dalam pesawat. Ada yang sedang berbual, ada yang termenung sendirian dan ada pula yang terlena di tempat duduk masing-masing.
"Kenapa saudara minum air kosong saja?. Ada penyakit barangkali?" Ternyata gadis di sebelahnya tidak memberi ruang untuk Syafiq mengelamun sendirian.
"Bukan kerana penyakit atau pantang larang tapi sudah jadi kebiasaan saya minum air kosong sahaja," kata Syafiq cuba menjelaskan kebiasaannya.
"Kalau saudara berkunjung ke rumah saya dihidangkan air yang manis adakah saudara akan menolaknya?" tanya Aghata sambil memandang tepat ke wajah Syafiq.
"Saya akan meminumnya sebab bukan kerana penyakit atau pantang larang. cuma kalau diberi pilihan saya lebih suka air suam sahaja," jawab Syafiq berterus terang.
"Barangkali Saudara juga menjauhi minuman keras?"
"Minuman yang memabukkan itu ditegah oleh agama Islam. Saya memang tidak pernah menyentuhnya."
"Saudara juga tidak merokok barangkali?"
"ya, saya tidak merokok. Walau di kata hilang satu nikmat namun saya rasa bangga kerana tidak merokok."
Aghata terus merenung wajah anak muda di sebelahnya seolah sedang mencari kepastian. Air mukanya yang jernih dengan matanya yang bercahaya serta bibir yang kemerahan membuktikan kebenaran pengakuannya. Di zaman ini memang payah ditemui pemuda yang tidak merokok dan tidak minum arak apatah lagi di kalangan masyarakat Iban. Ketagihan arak dan kecanduan rokok seolah wabak yang sukar untuk dikawal.
"Bagaimana pula dengan saudari?. Maksud saya ada pantang larang dalam minuman?" giliran Syafiq pula tidak memberi ruang untuk anak gadis itu mengelamun.
"Saya pantang jumpa oren jus mesti nak minum!" jawab Aghata sambil ketawa.
"Patutlah kulit saudari nampak halus dan wajah nampak berseri," balas Syafiq dan mereka sama-sama ketawa. Syafiq berasa senang dengan gadis itu. Dia bukan sahaja cantik malah mudah mesra dan bijak berkata-kata. Lidahnya juga fasih menyebut bahasa Melayu mungkin kerana pergaulannya di kampus. Mereka terus berbual dari satu topik ke satu topik yang lain. Walaupun baru berkenalan namun antara mereka sudah wujud kemesraan.
Tidak lama kemudian Pramugari datang sekali lagi sambil menolak troli yang sarat dengan makanan tengah hari untuk dihidangkan kepada penumpang dalam pesawat itu.
"Lauk ikan, daging atau sayur?" tanya Pramugari kepada Syafiq.
"Saya suka daging dan kawan saya ini gemar ikan," jawab Syafiq lalu menyambut trey yang berisi makanan. Satu diberikan kepada Aghata dan satu lagi untuk dirinya.
"Macam mana saudara tahu saya suka ikan?" tanya gadis itu lalu menyuap makanan ke mulutnya.
"Naluri saya yang mengatakan begitu."
"Wow hebatnya naluri saudara dapat meneka dengan tepat lauk kegemaran saya."
Syafiq ketawa senang hati mendengarnya. Dia tahu lauk yang dihidangkan cuma ayam, ikan atau sayur sahaja. Dia sengaja memilih Ayam dan untuk Aghata dipilihnya ikan. Sekiranya Aghata suka ayam dengan senang hati dia akan mengambil ikan sebab kedua jenis lauk itu menjadi kegemarannya.
"Boleh saudara teka sekali lagi?" tanya Aghata sengaja ingin menduga Syafiq.
"Teka apa?" balas Syafiq. Dia sedar gadis itu cuba memerangkapnya
"Minyak wangi jenama apa yang paling saya suka?"
"D’Amor dari Mexico!"
"Wow hebatnya!"
Aghata semakin kagum dengan kebolehan Syafiq meneka dengan tepat.. Bagi Syafiq, itu bukan sesuatu yang sukar kerana bau minyak wangi yang dipakai oleh gadis itu serupa dengan minyak wangi yang dipakai oleh Azura.
"Saya suka ikan kerana tidak ada kolestrol," kata Aghata sambil menikmati sajian kegemarannya.
"Saya suka daging kerana fungsinya memberi tenaga," balas Syafiq pula.
"Ada satu soalan yang belum saya tanyakan kepada saudara. Apa tujuan saudara ke Sibu?" tanya Aghata seolah cuba mengalih tajuk perbualan.
"Saya bertukar tempat bertugas ke Sarawak. Saya berasa seronok dengan pertukaran ini kerana belum pernah sampai ke Bumi Kenyalang."
"Oh yer ke?. Saya ucap selamat datang bertugas di Bumi Kenyalang. Semoga saudara akan menyukai negeri kami."
"Pasti saya suka."
"Boleh saya tahu saudara kerja apa dan bertugas di manna?"
"Pengurus ladang dan saya akan bertugas di Tanah Rancangan Felcra Naga Setia di Sibu."
"Oh Tuhan…"
"Kenapa?"
Aghata tidak menjawab. Dia seperti sedang menyembunyikan sesuatu dan ini menimbulkan tanda tanya di hati Syafiq. Kenapa dia terkejut bila mendengar nama Naga Setia?. Mungkinkah dia berasal dari sana?. Kalau benar alangkah
baiknya…
"Apakah saudari berasal dari Naga Setia?" Syafiq benar-benar inginkan kepastian.
"Saya memang terkejut bila mendapat tahu saudara akan bertugas di Naga Setia. Namun saya bimbang saudara tidak akan menyukainya kerana daerah tersebut jauh di pedalaman. Saudara pasti tidak betah bertugas di sana."
"Kenapa?. Teruk sangatkah tempat itu?"
"Letaknya jauh di pedalaman dan tidak ada kemudahan seperti di tempat saudara. Saya rasa saudara akan kesunyian dan pastinya tidak akan bertahan lama bertugas di sana."
"Itu bukan satu masalah kerana saya boleh menyesuaikan diri."
"Masyarakat di sana terdiri dari orang-orang Iban yang pastinya berbeza cara hidup dan adat resamnya. Mereka juga bukan beragama Islam."
"Perkara itu sudah dimaklumkan oleh majikan saya."
"Kehidupan masyarakat Iban agak berbeza dengan masyarakat Melayu. Saudara pasti berasa terasing nanti."
"Janganlah nak menakutkan saya kerana saya datang untuk berkerja, bukannya bersukaria. Saya diberi tanggungjawab untuk memajukan tanah dan meningkatkan taraf hidup peserta."
"Saya menceritakan perkara yang benar agar saudara tidak terperanjat bila sampai kesana nanti."
"Nampaknya saudari banyak tahu darihal Naga Setia. Mungkinkah saudari berasal dari sana?"
Aghata tidak menjawab. Cuma senyumannya semakin melerek. Gadis itu semakin menimbulkan pelbagai persoalan di hati Syafiq. Banyak persoalan yang belum terjawab.
"Saya berasa bertuah kalau saudari tinggal di sana." Kata Syafiq cuma memancing jawapan.
"Bertuah?. Apa maksud saudara?"
"Saya sudah ada kenalan di kalangan orang tempatan. Sekiranya ada masalah, sudah ada tempat untuk saya mendapat pertolongan."
Syafiq teringat pesanan emaknya. Menurutnya, apabila sampai di Serawak nanti carilah kenalan kerana kenalan itu penting bagi setiap orang yang merantau.

"Saya bukan orang Islam," pengakuan gadis itu tidak memeranjatkan Syafiq. Dia juga sudah dimaklumkan kebanyakan masyarakat Iban bukan beragama Islam. Namun itu bukan halangan untuk dia bergaul dengan mereka.
"Agama saya menyuruh berbuat baik kepada semua manusia. Saudari tentu faham, bukan?"
"Saya faham kerana biasa bergaul dengan rakan-rakan beragama Islam ketika di universiti. Cuma saya bimbang saudara tak tahan dengan kerenah kaum saya di rumah panjang."
"Maksud saudari, mereka tidak senang dengan kehadiran saya?"
"Janganlah salah sangka sebab sebelum saudara datang sudah ramai pegawai yang berkerja di tempat kami."
"Habis itu apa masalahnya?"
"Kebanyakan mereka terikut-ikut cara kami. Bimbang saudara juga akan serupa dengan mereka."
"InsyaAllah saya tidak seperti mereka sebab saya mendapat pendidikan agama sejak kecil. Ibu dan bapa saya mendidik supaya menjadi orang yang baik."
"
Apakah mereka tidak mendapat pendidikan agama yang baik?"
"Saya tak tahu sejauh mana perkara yang telah mereka lakukan atau saudari yang emosi."
"Saudara tahu tak?" tanya Aghata. Dia memandang tepat ke muka Syafiq. "
Ada yang sudah berkahwin mengaku bujang supaya dapat memperdayakan anak-anak gadis Iban. Apabila berlaku sesuatu mereka ditinggalkan."
Syafiq mengalihkan pandangan ke luar jendela. Langit membiru dan angkasa kelihatan kosong. Tidak ada pemandangan yang menarik apabila pesawat berada di paras ketinggian yang maksima. Pesawat itu kini sedang menyeberangi Laut Cina Selatan dengan kelajuan 800 kilometer sejam.

"Hei, apa yang sedang saudara fikirkan?" Syafiq sedikit terkejut.
"Saya terkenang ayah dan ibu di kampung. Mereka pasti sedang merindui saya."
"Mungkin juga teringatkan isteri atau kekasih?"
"Saya masih bujang."
Pesawat sedikit bergegar apabila ketingiannya diturunkan. Bumi Kenyalang nampak berbalam. Semakin rendah pesawat terbang, semakin jelas pemandangan.

"Pesawat akan mendarat sebentar lagi. Siapa yang menunggu saudara di air port?"
"Saya difahamkan memang ada yang akan menjemput saya di lapangan terbang. Cuma masalahnya antara kami belum kenal. Kalau nasib tidak baik kami tak bertemu."
"Apa yang akan saudara lakukan jika perkara itu berlaku?"
"Saya akan ikut saudari!"
"Jangan kerana itu tidak mungkin."
" Kenapa?"
"Sudah ada seseorang yang sedang menunggu kepulangan saya di lapangan terbang. Dia akan cemburu kalau melihat saudara menemani saya. Kerana itu elok kita jangan berjalan beriringan apabila turun nanti dan jika bertemu buat tak kenal saja. Boleh tunaikan permintaan saya?"
"Boleh," jawab Syafiq." Mungkinkah yang menunggu itu suami saudari?"
"Saya belum berkahwin."
"Atau tunang?"
"Kami belum bertunang." Kami? Mungkin kekasihnya. Alangkah bertuahnya pemuda itu mendapat seorang gadis yang cantik. Pastinya kekasih gadis itu seorang pemuda yang kacak dan berjawatan tinggi.
Kapal terbang selamat mendarat di lapangan terbang Sibu. Para penumpang dibenarkan membuka tali pinggang keselamatan. Selain itu mereka juga diminta untuk mempastikan tidak ada barang-barang yang tertinggal dalam pesawat.

"Saudara masih belum menjawab pertanyaan saya," Syafiq meninggikan suaranya untuk mengatasi dengongan di telinga semasa pesawat mendarat.
" Saya dah lupa. Ulangi semula soalan saudara."
"Saudara tinggal di mana?"
"Saudara akan tahu apabila sampai di Naga Setia. Jangan lupa cari saya jika ada apa-apa masalah di tempat kerja saudara."
"Boleh kita terus berkawan?"
"Boleh apa salahnya. Namun saudara mesti berhati-hati takut nanti ada yang cemburu."
"Siapa yang cemburu?"
"Buah hati saudara!"
Syafiq ketawa mendengarnya. Hatinya cukup senang dengan gadis Iban yang baru dikenalinya. Dia bukan sahaja memiliki wajah yang menawan tapi juga bijak berkata-kata.
Kapal terbang selamat mendarat. Para penumpang dibenarkan turun dari pesawat. Namun Syafiq tidak mahu tergesa-gesa. Dia membiarkan penumpang lain yang turun dahulu.
"Saya pergi dulu. Semoga kita bertemu lagi." Kata Aghata lalu berdiri mengambil beg di rak pesawat. Syafiq membantunya menurunkan beg itu.
"Saya memang berharap kita akan berjumpa lagi," balas Syafiq pula.
Di luar cuaca cerah dengan suhu 38 darjah celcius. Cuaca bulan Mei panas memijar. Bumi Kenyalang turut membahang dimamah mentari.
Read more..!

Indah Islam Kerana Iman


Assalamualaikum

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Translate this page from Malaysian to the following language!

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Widget edited by Anang

AsRuL @ YaGaMi LaiTo Search

Blog-blog aku :

AsRuL & YaGaMi LaiTo

Indah Islam Kerana Iman

Muzik Itu Duniaku


Blogger Help Templates Widgets SEO Tips
Blogger Help Templates Widgets SEO Tips


Blogger Trick
Blogger Trick


Blog Catalog
Mens Blogs - BlogCatalog Blog Directory

Doa Penerang Hati Memulakan Bacaan

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Clicky Web Analytics Clicky